
Sarawak dipilih tuan rumah WZWF ke-14
KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah kepada Forum Zakat dan Wakaf Sedunia (WZWF) ke-14 yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober 2025 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), sempena ulang tahun ke-70 Majlis Islam Sarawak (MIS).
Pengerusi Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, menyifatkan pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah sebagai pengiktirafan kepada komitmen negeri dalam memperkasa tadbir urus wakaf secara moden.
“Wakaf bukan inisiatif sementara, ia adalah warisan berterusan. Melalui forum ini, kita menyatukan akademia, industri dan komuniti dalam satu ekosistem pembangunan untuk ummah,” katanya dalam sidang media khas WZWF Ke-14 di Dewan Syura, Pejabat MIS, pada Rabu.
Forum berprestij ini akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan dijangka menjadi pemangkin utama dalam mentransformasikan sistem kewangan sosial Islam di era digital.
Bertemakan “New Global Zakat and Waqf Order: Innovative Solutions for Contemporary Challenges and Future Socioeconomic and Digital Development”, edisi kali ini dijangka menghimpunkan tokoh terkemuka zakat dan wakaf, penggubal dasar, ahli ekonomi serta inovator dari rantau Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.
Forum ini dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak dan Majlis Islam Sarawak (MIS), dengan sokongan Yayasan Waqaf Malaysia, GOBARAKAH selaku Rakan Impak Sosial, serta Global Waqf Conference (GWC).
Menurut Setiausaha Agung WZWF, Datuk Dr. Mohd Ghazali Md Noor, ia bukan sekadar platform perbincangan, tetapi medan untuk mencorak kerangka baharu dalam pengurusan zakat dan wakaf global yang lebih strategik, inklusif dan lestari.
“Kita kini berada di ambang dekad baharu bagi WZWF. Sudah tiba masanya kita memperbaharui cara fikir dan pendekatan dalam menjadikan zakat dan wakaf sebagai tunggak utama pembangunan sosioekonomi global,” ujarnya.
Antara pengisian utama forum ialah Persidangan Diraja Pertama: “Guardians of Legacy – The Role of Royalty and Women in Shaping Waqf: Past, Present and Future” yang mengetengahkan peranan institusi diraja dan kepimpinan wanita dalam sejarah dan masa depan pembangunan wakaf.
Sebagai dorongan kepada pertumbuhan institusi wakaf, penaja yang layak bakal menerima insentif cukai mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Di samping itu, sumbangan juga boleh disalurkan melalui Yayasan Waqaf Malaysia atau GOBARAKAH, dan sebahagiannya akan digunakan untuk penubuhan institusi wakaf baharu di Sarawak, yang bakal diserahkan secara rasmi kepada Majlis Islam Sarawak.
Forum Zakat dan Wakaf Sedunia 2025 dijangka menjadi pemangkin kepada idea-idea berani, pembangunan inklusif dan kerjasama transformasi, memperkukuh kedudukan zakat dan wakaf sebagai instrumen utama daya tahan sosioekonomi global.-EDISI UKAS