KUCHING, 14 Mei: Kecekapan kepimpinan dan pentadbiran menerusi pembangunan institusi Islam yang mampan faktor Sarawak dipilih selaku tuan rumah World Zakat and Waqf Forum (WZWF) ke-14.
Setiausaha Agung WZWF Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor berkata, di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kompleks yang menempatkan institusi Islam kini terdapat di seluruh bahagian di negeri ini.
“Ia merupakan satu manifestasi bagaimana kami telah melakukan selama lebih 30 tahun dalam kepimpinan dan pentadbiran Islam dan mempunyai kompleks yang menyediakan perkhidmatan kepada komuniti dan meletakkan agama Islam di landasan yang betul dan ia merupakan satu penghormatan kepada Sarawak dan Malaysia secara khususnya
“Sarawak menjadi mercu tanda kecemerlangan serta sumbangan kepada aspirasi dan kejayaan umat Islam kontemporari,” katanya lagi pada sidang media di Kompleks Islam Sarawak pada Rabu.
WZWF diadakan bersempena ulang tahun ke-70 penubuhan Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama rakan strategik GOBARAKAH serta Persidangan Global Wakaf (GWC) dan dijangka menarik lebih 43 negara merentasi Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Syarikat untuk menyertainya.
Jumlah itu meliputi penglibatan institusi dan individu mewakili akademik, industri dan komuniti Islam serta bukan Islam.
Forum yang akan diadakan pada 13 hingga 15 Oktober ini di Hikmah Exchange, Event Centre, Kuching akan turut membincangkan kaedah pengurusan zakat dan wakaf moden dalam era digitalisasi.
Selain WZWF, forum tahun ini juga menyaksikan satu lagi perasmian Forum Diraja dengan tajuk “Guardians of Legacy-The Role of Royalty and Women in Shaping Waft: Past, Present, Future selain dua lagi tarikan iaitu sesi plenari dan bengkel transformasi digital, impak pelaburan dan kerjasama merentasi sempadan. -TVS